Pelabur harus Mengetahui Perniagaan Diceburi
KUALA LUMPUR 24 Dis. - "Gunakan sekurang-kurangnya separuh daripada
wang bonus yang diterima untuk tujuan simpanan dan pelaburan," demikian
nasihat Ketua Pegawai Pelaburan Allianz Malaysia Bhd., Esther Ong Chen
Woon.
Menurut beliau, simpanan merupakan perkara penting bagi
tujuan membeli rumah, menabung untuk pendidikan kanak-kanak, untuk
kegunaan semasa kecemasan atau perancangan persaraan.
"Memang
kita perlu memanjakan diri sendiri selepas berhempas pulas bekerja
sepanjang tahun, namun seseorang itu perlu beringat semasa berbelanja
bagi memastikan kewangan mereka sentiasa stabil sepanjang hayat.
"Semasa individu masih muda, mereka harus sentiasa bijak berbelanja dan mengumpul kekayaan dalam bentuk deposit," katanya.
Chen Woon menasihatkan orang muda untuk membeli rumah pada permulaan
kerjaya terutama kediaman bertanah kerana nilainya akan meningkat dari
semasa ke semasa dan bukannya menghabiskan wang untuk membeli kereta.
Katanya, anggapan bahawa pelaburan kereta adalah keperluan merupakan
satu pendapat yang salah kerana ia tidak boleh dianggap sebagai aset
ekoran nilainya yang menyusut.
Menyentuh mengenai bentuk
pelaburan ideal, Chen Woon berpendapat bahawa campuran bon dan ekuiti
adalah seimbang dari segi risiko dan pulangan.
Strategi tersebut disasarkan kepada individu bekerja yang tidak mempunyai masa untuk memantau pelaburan mereka.
Beliau turut menasihatkan pelabur supaya selalu mempersoalkan sifat asas bagaimana pulangan tinggi diperolehi.
Katanya, pelaburan yang memberi pulangan terlalu tinggi secara luar
biasa seperti yang ditawarkan oleh 'Skim Cepat Kaya' bermakna risiko
yang dihadapi juga adalah tinggi dan ia tidak dijamin.
Tambah
beliau, pelabur perlu membina pelbagai portfolio dengan gabungan
pelaburan yang betul, sesuai dengan keperluan pelaburan atau simpanan
individu dan yang paling penting mengetahui asas-asas pelaburan.
"Jangan sekali-kali melabur dalam perniagaan yang anda tidak faham.
"Memahami sifat pelaburan dan berpegang kepada hanya apa yang anda tahu
adalah langkah pertama untuk melabur secara betul dan pelabur perlu
mengambil kira risiko dan menilai pelaburan sekurang-kurangnya setiap
tiga bulan," katanya.
Menurut Chen Woon, terdapat banyak faktor
penting yang perlu dipertimbangkan sebelum melabur terutama faktor
jangka panjang seperti dasar fiskal dan kewangan, politik dan trend
ekonomi.
Seseorang pelabur katanya, perlu memahami kedudukan
kewangan negara, selain melihat data asas seperti pasaran kerja, kadar
pengangguran, kenaikan gaji dan kos sara hidup.
"Berinteraksi
dengan orang ramai dari pelbagai industri seperti peniaga, pemandu
teksi, peruncit dan rakan-rakan juga boleh membantu dalam menentukan
sentimen pasaran secara keseluruhan.
"Jangan biarkan keuntungan yang cepat dan pulangan yang tinggi menutupi
mata anda, sentiasa melengkapkan diri anda dengan fakta dan
pengetahuan. Dengan ini, anda akan pasti bahawa anda melakukan perkara
yang betul dengan wang yang anda miliki," tegasnya.
No comments:
Post a Comment